Kerjaya muzik Casey Subramaniam

Casey pada usia muda telah dipengaruhi oleh ibunya yang merupakan seorang penyanyi jaz profesional. Setelah memperoleh kemahirannya dengan latihan selama bertahun-tahun dalam bidang muzik, Casey telah menerima penghormatan sebagai pemuzik dan penyanyi di industri muzik Asia dengan persembahan yang memberi inspirasi.

Pada usia 19 tahun, Casey tampil sebagai pemain solo di kelab All That Jazz di Kuala Lumpur. Pada tahun 1990 pada usia 21 tahun, menyertai kumpulan muzik sebagai pemain bes yang memainkan semua genre muzik. Casey juga diundang untuk membuat persembahan dengan pemuzik dan penyanyi terkenal tempatan seperti Michael Veerapen, Lewis Pragasam dan banyak lagi.

Kejayaannya hadir pada 1994 apabila beliau muncul dengan single pertamanya, "Seribu Impian" hasil ciptaan Aubrey Suwito telah memperkenalkan beliau kepada umum di industri muzik. Album pertamanya, Casey kemudian menyusul.[2][3] Diterbitkan oleh SCAT Records, album ini memuatkan sebanyak 10 lagu termasuk sebuah lagu duet bersama Khadijah Ibrahim, "Apakah Semua".[4] Menerusi album ini, Casey menerima dua pencalonan di Anugerah Industri Muzik ke-2, memenangi satu anugerah, iaitu Artis Baharu Lelaki Terbaik, manakala "Seribu Impian" dicalonkan untuk Muzik Video Terbaik.[5]

Beliau juga pernah berduet bersama Nora menerusi lagu "Meniti Janji" yang dimuatkan dalam album kedua Nora, Debaran (1995). Album kedua beliau pula menyusul pada 1996 dengan tajuk Menatap Memori. "Jangan Ada Benci" karya Fauzi Marzuki dan Habsah Hassan telah dikeluarkan sebagai single utama. Casey mendedahkan dalam satu temubual bersama Berita Harian pada September 2021 bahawa lagu tersebut nyaris tidak dimuatkan dalam Menatap Memori.[1]

Beberapa tahun selepas mencipta kejayaan di Malaysia, Casey berhijrah ke Singapura dan meneruskan kerjaya muziknya di sana. Sepanjang tempohnya di negara Kota Singa, Casey melakukan pelbagai kerja termasuk bermain muzik di kelab, bekerja di studio dan mengajar muzik di sebuah sekolah antarabangsa. Pada Jun 2021, selepas sekian lama tidak muncul dengan karya muzik baharu, Casey melancarkan single "Kau Harus Pergi" yang terdapat di semua pelantar digital. Ia berkisarkan tekanan dialami teman sekeliling akibat pandemik COVID-19.[1] Ini menjadi rakaman rasmi pertama beliau dalam tempoh 25 tahun.